Muflis Ketika Orang Tersayang Perlukan Anda!

SIMPANAN KECEMASAN 

Salah satu asas terpenting dalam perancangan kewangan ialah tabung kecemasan. Jika di dalam formasi pasukan bola sepak, tabung kecemasan diibaratkan seperti pemain pertahanan. Berfungsi mempertahankan ‘pasukan’ daripada ancaman ‘musuh’.

Musuh dalam konteks kewangan individu adalah segala musibah yang tak terjangka dan tidak dapat diselesaikan dengan bantuan takaful atau insurans.

Antara contoh adalah kehilangan pekerjaan, kos baikpulih kereta dan rumah, kos perubatan kecil yang tidak ditanggung pihak takaful/insurans, atau boleh jadi juga kehilangan telefon yang boleh menyebabkan kehidupan kewangan menjadi tidak terkawal.

Tabung kecemasan membantu menyelesaikan masalah-masalah tersebut tanpa perlu menambah hutang baharu.

Tabung kecemasan boleh dibina melalui langkah-langkah berikut:

Langkah #1: Tetapkan Matlamat Simpanan

Sekiranya baru bermula, dicadangkan untuk anda menetapkan matlamat untuk mencapai jumlah simpanan sebanyak RM 1,000. Dan jumlah ini sepatutnya menjadi amaun minima yang wajib ada sebagai tabung kecemasan.

Untuk peringkat permulaan, pilih satu jumlah yang anda rasakan mampu dicapai. Sekiranya jumlah minima RM1,000 tersebut sudah cukup buat anda rasa ‘peace of mind’ maka itulah matlamat anda. Tapi jika anda rasa memerlukan jumlah amaun yang lebih tinggi maka tingkatkan lagi matlamat kepada RM1,500 , RM2,000 dan seterusnya.

Boleh jadi anda akan cepat putus asa sebelum bermula sekiranya anda menetapkan matlamat berdasarkan saranan orang lain, jadi tetapkan matlamat seberapa banyak jumlah simpanan kecemasan yang anda rasakan sesuai walaupun sekadar minima RM1,000.

Ada sedikit lebih baik daripada tiada langsung.

Langkah #2: Pilih Akaun Simpanan yang Sesuai

Pilih akaun simpanan yang mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Asingkan akaun gaji/pendapatan dengan akaun kecemasan
  • Tiada kos atau kos rendah. Tiada caj yang terlibat (seperti caj pengurusan) atau sekiranya ada hanyalah pada kadar yang rendah.
  • Tahap kecairan yang tinggi. Duit simpanan mudah dikeluarkan bila-bila masa diperlukan.
  • Selamat. Bukan simpanan bawah bantal atau dalam tin biskut yang terdedah kepada kecurian mahupun kerosakan.
  • Bonus sekiranya ada pulangan hasil daripada simpanan tersebut.

Antara pilihan yang sesuai di Malaysia adalah Akaun Simpanan Bank biasa, Akaun Deposit Tetap, Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Langkah #3: ‘Automate’ atau ‘Forced’ Simpanan

Ketepikan sejumlah amaun daripada pendapatan bulanan dan pilih tarikh khusus untuk memindahkan wang dari akaun gaji/pendapatan ke akaun simpanan anda secara automatik.

Gunakan kemudahan automasi yang disediakan oleh pihak bank anda seperti auto transfer atau standing instruction (sila rujuk pihak bank) untuk memindahkan wang secara berkala. Sistem automasi ini membantu anda konsisten, berdisiplin dan lebih pantas untuk mencapai matlamat simpanan.   

Langkah #4: Tambah Simpanan

Tingkatkan jumlah simpanan yang diketepikan seperti di Langkah #3 sebanyak 10%. 

Sebagai contoh, jika anda merancang untuk ketepikan RM50 setiap bulan, seterusnya cuba tingkatkan pemindahan simpanan anda kepada RM55 setiap bulan atau selepas beberapa bulan.

Dengan cara ini matlamat simpanan anda lebih cepat tercapai. 

Atau boleh juga kaedah-kaedah efektif yang lain yang boleh membantu menambahkan lagi jumlah simpanan bulanan anda.

Langkah #5: Simpan Secukupnya Menyamai Perbelanjaan Bulanan yang Ideal

Setelah mencapai jumlah matlamat anda, teruskan menyimpan sehingga anda dapat menampung perbelanjaan hidup selama beberapa bulan berdasarkan jenis pekerjaan anda.

Katakan perbelanjaan bulanan anda adalah RM2000 sebulan.

1. Untuk Penjawat Awam idealnya 3 bulan perbelanjaan (RM2000 x 3 = RM6000)

2. Untuk pekerja Sektor Swasta idealnya 6 bulan perbelanjaan (RM2000 x 6 = RM12,000)

3. Untuk yang Bekerja Sendiri idealnya adalah 12 bulan perbelanjaan (RM2000 x 12 = RM24,000)

Mengapa nilainya berbeza?

Saranan simpanan kecemasan ideal ini berdasarkan risiko untuk hilang pekerjaan dan ketidakstabilan pasaran bagi pekerja swasta dan yang bekerja sendiri.  Tapi jika mahu simpan lebih, lagi bagus.

Sekiranya anda belum mula menyimpan tabung kecemasan anda, gunakan langkah-langkah ini untuk membuat rancangan simpanan hari ini. Selamat menyimpan !