Rahsia Jutawan ‘SMART’

BINA MATLAMAT KEWANGAN DENGAN FORMULA SMART

Awal tahun baharu 2019 ni elok kiranya bermula dengan langkah menetapkan matlamat kewangan yang spesifik, efisyen dan mampu dicapai.

Matlamat kewangan boleh dibahagikan berdasarkan tempoh yang ingin dicapai. Jangka pendek, sederhana dan panjang. 

Saya perincikan lagi kaedah penetapan matlamat menggunakan formula S.M.A.R.T. untuk memudahkan pembahagian matlamat kepada sama ada jangka pendek, sederhana atau panjang.

Apa itu S.M.A.R.T?

S – Specific (objektifnya khusus dan jelas)
M – Measurable (boleh diukur, ada nilai tertentu)
A – Achievable (boleh dicapai)
R – Realistic (logik untuk dicapai)
T – Timely (time-bound, ada target tempoh masa yang akan dicapai)

Untuk lebih memahaminya, saya berikan contoh situasi.

“Saya nak jadi KAYA!”

Ulasan: Bagus. Matlamat sudah ada tapi tidak jelas. Kaya yang bagaimana? Berapa kekayaan tu? Bila nak jadi kaya?

“Saya nak jadi JUTAWAN!”

Ulasan: Lebih jelas tapi tidak spesifik. Ada RM1 juta aset sahaja pun jutawan. Ada RM500 Juta tunai pun jutawan juga. Jutawan yang bagaimana? Berapa nilai juta?

“Saya nak dapatkan tunai RM200 JUTA !”

Ulasan: Lebih spesifik (Specific) dan boleh diukur (Measurable).
Tapi mampukah untuk dicapai?
Ya, boleh untuk individu-individu tertentu dan pendiri bisnes.

Tapi untuk majoriti yang mengharapkan gaji bulanan nampaknya memang tidak dapat dicapai dan tidak realistik untuk dicapai.

“Saya nak dapatkan tunai RM1 JUTA !”

Ulasan: Specific. Measurable. Achivable. Tapi bila mahu capai matlamat ni? Logik ke dapat capai?

“Saya nak dapatkan tunai RM1 JUTA dalam tempoh setahun!”

Ulasan: Specific. Measurable. Achivable. Timely.
Tapi tak logik untuk dicapai bagi majoriti kita dalam tempoh sesingkat itu.

“Saya nak dapatkan tunai RM1 JUTA dalam tempoh 30 tahun!”

Ulasan: Tahniah! Matlamat anda sudah cukup SMART !

Kemudian, gunakan segala aspek dalam matlamat tersebut untuk buat pengiraan berapa yang perlu dikerjakan, disimpan atau dilabur setiap bulan demi mencapai matlamat kewangan tersebut.

Untuk lebih jelas, saya sandarkan situasi contoh dalam kehidupan nyata.

MATLAMAT 1:
“Target kumpul wang deposit rumah subsale (bernilai RM200,00) sebanyak RM30,000 dalam tempoh 5 tahun!”

Gunakan aplikasi Financial Calculator (Android atau Apple), buat kiraan.

Hasilnya, untuk capai matlamat tersebut simpanan/pelaburan bulanan minima yang diperlukan adalah sebanyak RM435/bulan pada kadar pulangan tahunan purata sebanyak 7%.

Contoh produk simpanan/pelaburan yang berikan kadar purata 7% adalah ASB.

Jelas? Atau contoh lain,

MATLAMAT:
“Bersara dengan wang saraan terkumpul berjumlah RM1 Juta pada usia persaraan 60 tahun (iaitu 30 tahun lagi), dengan bermodalkan RM60,000 daripada akaun 1 KW*P (tanpa mengganggu aliran tunai bulanan atau membuat pinjaman).”

Gunakan aplikasi Financial Calculator, buat kiraan.

Maka, untuk capai matlamat tersebut modal RM60,000 hendaklah dilabur kembangkan secara terkompaun (compounding) pada kadar keuntungan tahunan (annualized return) minima sebanyak 10 %.

Seterusnya, cari apakah produk yang boleh berikan kadar keuntungan tahunan minima 10%. Pastikan patuh syariah.

Jelas?

Anda boleh cuba kaedah ini dan bahagikan matlamat kewangan anda kepada jangka pendek, sederhana dan panjang. Tampal di dinding rumah, berdoa dan berusahalah untuk mencapainya.

Selamat mencuba!